June 13, 2012

Jurnal Apresiasi (Kritikan Watak)

Bagi tugasan subjek Seni Lakon Awalan, kami telah diberikan tugasan untuk membuat kritikan bagi sebuah watak bagi filem atau persembahan teater yang telah kami tonton. Ini adalah kritikan yang telah dibuat oleh saya bagi tugasan individu ini.


Usikan Rebab karya arahan : Norzizi Zulkifli
Pelakon : Zamzuriah Bt Zahari
            Bagi tugasan ini, saya tertarik untuk mengekspresiasikan persembahan lakonan teater Usikan Rebab yang telah saya saksikan di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) pada 20 April 2012 yang lalu. Teater Usikan Rebab ini merupakan sebuah pementasan teater yang diarahkan oleh seorang pelakon terkenal iaitu Norzizi Zulkifli dan dikarang oleh Zamzuriah Zahari. Usikan Rebab mengisahkan cerita mengenai hubungan seorang ibu dengan anak-anaknya, seorang seniman yang bernama Kak Nab seorang primadona dengan dunia Mak Yong nya dan sakit ‘angin’ yang terdapat dalam masyarakat. Angin merujuk kepada pelbagai situasi emosi dan psikologi dalam diri manusia yang mana sekiranya angin dalam diri ini tidak seimbang akan menimbulkan pelbagai penyakit khususnya yang berkait rapat dengan emosi atau psikologi mereka. 
Mak Yong merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Mak Yong dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.
Bagi teater Usikan Rebab ini watak utama di dalam cerita ini ialah Kak Nab iaitu ibu kepada tiga orang anak iaitu Idah. Ani dan Yam. Menarik tentang cerita ini adalah hanya seorang pelakon sahaja yang melakonkan keempat-empat watak tersebut. Terdapat teknik pertukaran watak yang amat baik dilakukan olehnya. Kesemua watak yang dibawa dapat dihayati dengan baik menyebabkan saya kagum dan percaya bahawa watak yang dibawa adalah berbeza dan terdapat pertukaran watak yang jelas dapat disaksikan daripada Kak Nab kepada Idah, Ani dan Yam.
Dapat disaksikan dengan jelas bagaimana perbezaan watak-watak tersebut seperti watak Kak Nab yang dimulakan dengan sewaktu dia masih muda dan belum berkahwin sehingga dia berkahwin dan mendapat anak dan akhirnya semasa zaman tuanya. Watak anak-anak Kak Nab pula bermula ketika mereka telah berada pada usia remaja dan juga dewasa. Tidak diperlihatkan semasa mereka masih kanak-kanak. Watak Idah seorang guru agama yang lantang menberikan ceramah-ceramah agama dapat ditunjukkan dengan baik juga watak anak kedua Kak Nab iaitu Ani sebagai seorang duta produk juga berkesan, bagaimana watak tersebut cuba bermain dengan penonton-penonton yang datang dan akhir sekali ialah watak anak bongsu Kak Nab iaitu Yam yang baru sahaja menghabiskan pengajian di institut pengajian tinggi yang sedang mencari pekerjaan dalam arena tarian kontemporari. Terdapat perbezaan watak disitu. Pelakon berusaha dengan gigih untuk memastikan watak-watak yang dibawa olehnya dapat mencuit hati penonton dan juga membuatkan penonton percaya terhadap lakonan tersebut.
Dari sudut interprestasi watak pula dapat disaksikan bahawa terdapat perbezaan karekter bagi setiap watak seperti watak Kak Nab. Dari segi sosial dapat dilihat Kak Nab adalah merupakan seorang yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi menyebabkan dia menceburi bidang Mak Yong ini, dia juga seorang yang tidak terlalu beragama kerana Mak Yong adalah merupakan suatu kepercayaan orang zaman-zaman dahulu yang mempunyai hubung kait dengan makhluk halus. Watak Kak Nab pada mulanya aktif ketika dia masih muda dan berubah kepada pasif apabila melakonkan watak orang tua yang uzur. Kak Nab ini dapat dilihat dari segi pertuturannya adalah seorang yang berasal dari Pantai Timur Semenanjung iaitu dari Negeri Kelantan dengan penggunaan slanga dari negeri tersebut. Dari segi psikologinya pula dapat dilihat wataknya adalah seorang yang cerdas seerti ketika bermain Mak Yong tersebut. Dapat dilihat juga dia adalah seorang yang bijak kerana tidak mudah jatuh cinta dengan sebarangan orang. Dan dari segi fisiologi pula, Kak Nab pada awal permainan adalah seorang perempuan muda yang menjadi dambaan ramai lelaki dan kemudiannya berubah kepada wanita dewasa dan akhirnya orang tua. Kak Nab adalah seorang yang mempunyai tubuh yang sederhana dan berperwatakan menarik dan manis menyebabkan ramai yang terpikat dengannya.
Bagi watak Idah pula memperlihatkan watak sosial yang berkerjaya sebagai seorang penceramah agama bebas. Dia mempunyai taraf pendidikan agama yang tinggi ketika dia tinggal bersama-sama dengan emak saudaranya membolehnya menjadi seorang pendakwah. Idah adalah merupakan seorang yang menentang persembahan Mak Yong yang dimainkan oleh ibunya dengan menyatakan ia adalah khurafat. Idah tinggal bersama-sama dengan emak saudaranya di Pulau Pinang memungkinkannya menggunakan slanga negeri tersebut. Dari segi psikologi pula, dia seorang yang lincah bagi mengembangkan dakwahnya. Secara fisiologinya pula dia berusia dalam lingkungan awal 30-an dan belum berkahwin.
Ani diperlihatkan perwatakan sebagai seorang yang mempunyai kerjaya sebagai seorang duta produk, tidak mempunyai taraf pendidikan yang tidak terlalu tinggi berdasarkan sosialnya. Dari segi psikologi, dia seorang yang cergas dan aktif dalam pekerjaannya. Dia adalah seorang perempuan yang masih muda berusia dalam lingkungan 27 tahun. Dia mempunyai lengong badan yang menggoda bagi menarik minat pelanggan.
Berbeza dengan Yam. Dia adalah seorang pelajar lepasan ijazah yang mencari peluang pekerjaan dalam bidang tarian kontemporari. Dia seorang yang bergiat aktif dalam seni tari moden. Dari segi psikologi, dia adalah seorang yang cergas dan bijak kerana dia ingin menjadi seorang yang disegani dan dikenali oleh semua orang. Dia adalah seorang anak dara dalam lingkungan 25 tahun yang berpewatakan tegas.
Kesemua watak yang dibawa oleh pelakon sama ada Kak Nab, Idah, Ani ataupun Yam dapat menimbulkan kepercayaan dalam diri saya dan jelas kelihatan perbezaan watak-watak tersebut. Ia adalah merupakan suatu usaha yang berjaya dalam aspek perubahan watak-watak tersebut.
Teater Usikan Rebab adalah merupakan sebuah persembahan pentas yang tidak menggunakan alat pembesar suara. Suara adalah merupakan instrument penting dalam persembahan pentas sebagai penyampai segala dialog-dialog. Bagi cerita ini pemyampaian dialog adalah jelas tetapi mungkin terdapat sebilang dari penonton yang tidak memahami slanga Kelantan kerana persembahan Mak Yong dipersembahkan dalam bahasa Kelantan. Walaubagaimanapun pelakon turut membantu penonton memahami dialog yang dituturkan dengan memberikan maksud dalam bahasa baku. Dan ia adalah merupakan suatu keadaan yang baik bagi memastikan penonton memahami cerita yang disampaikan.

Sekian
~sayonara~


No comments:

Post a Comment